Ahli Sunnah Wal Jamaah & hadis dhaif


Hafiz Firdaus

Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah mengiktiraf wujudnya perbezaan pendapat dalam menerima hadis yang lemah (dha‘if) dalam persoalan yang menerangkan keutamaan sesuatu amal (Fadha’il ‘Amal), anjuran dan ancaman (al-Targhib wa al-Tarhib) serta dalam persoalan yang didiamkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah.
Terhadap persoalan-persoalan di atas, sebahagian tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ahmencukupkan diri dengan hadis-hadis yang sahih dan hasan manakala sebahagian tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah yang lain menerima hadis dha‘if. Walaubagaimana pun penerimaan hadis dha‘if dalam persoalan di atas hanya dibolehkan jika ia menepati empat syarat berikut:
  1. Hadis tersebut dipastikan memiliki kelemahan yang ringan. Hadis yang berat kelemahannya (Dha‘if jiddan), palsu (maudhu’) dan tidak diketahui asal-usulnya tidak diterima.
  2. Hadis tersebut termasuk dalam asas-asas agama.
  3. Hadis tersebut disampaikan dalam bentuk yang menunjukkan kelemahannya atau disampaikan sambil menerangkan kelemahannya. Tidak boleh menyampaikannya dalam bentuk yang pasti kerana ia akan memberi sangkaan kepada masyarakat bahawa ia adalah sahih.
  4. Hadis tersebut digunakan dalam suasana yang terpencil. Tidak boleh menggunakannya secara meluas atau dengan kekerapan yang tinggi kerana ia akan memberi sangkaan kepada masyarakat bahawa ia adalah sahih.
Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah tidak menerima hadis dha‘if yang tidak memenuhi syarat-syarat di atas, atau yang diragui sama ada memenuhi syarat-syarat di atas.
Penjelasan
Tiga syarat di atas terdapat dalam semua kitab ilmu hadis[4] manakala syarat yang keempat ini dikemukakan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (852H) dimana beliau berkata:

Sedia dikenali bahawa para ahli ilmu mempermudahkan penerimaan hadis dalam bab keutamaan (al-Fadha’il) sekali pun di dalamnya memiliki kelemahan selagi mana ia bukan hadis maudhu’. Namun disyaratkan bagi orang yang mengamalkannya bahawa dia yakin hadis tersebut adalah dha‘if dan dia tidak memasyhurkannya kerana dibimbangi orang lain akan beramal dengan hadis yang dha‘if tersebut (tanpa mengetahui ia adalah dha‘if) sehingga mensyari‘atkan apa yang tidak disyari‘atkan atau dia meriwayatkannya kepada sebahagian orang yang jahil sehingga disangkakan ia adalah sunnah yang sahih.[5]

            Pada asalnya jumhur ulama’ membolehkan penggunaan hadis dha‘if, selagi mana ia menepati syarat-syaratnya. Apabila para ulama’ tersebut mengamalkan hadis-hadis dha‘if, mereka benar-benar memerhatikan syarat-syaratnya. Namun dengan berlalunya masa, ramai yang menggunakan hadis dha‘if  tanpa memerhatikan syarat-syaratnya. Maka meluaslah hadis-hadis yang amat lemah, palsu dan yang tiada asal usulnya.
Maka atas sebab ini serta beberapa sebab yang lain, beberapa ilmuan pada masa kini berpendapat melarang menggunakan hadis yang dha‘if agar orang ramai tidak lagi terdedah kepada penggunaan hadis dha‘if oleh mereka yang tidak bertanggungjawab terhadap syarat-syaratnya. Dengan pelarangan ini, orang ramai tidak lagi mengenal apa-apa hadis melainkan yang sahih dan hasan sahaja.[6]


[4] Antara terawal yang mengemukakannya ialah al-Sakhawi rahimahullah (906H) dalam al-Qaul al-Badi’ fi Fadhli Shalat ‘ala al-Habib al-Syafi’ (tahqiq: Muhammad ‘Awwamah; Muassasah al-Rayan, Beirut, 2002), ms. 472-473.


[5]Tabyin al-‘Ujab bi ma warada fi Fadhli Rejab, ms. 3-4; dinukil daripada Tamam al-Minnah fi al-Ta’liq ‘ala Fiqh al-Sunnah oleh al-Albani (Dar al-Rayah, Riyadh, 1409H), jld. 1, ms. 36.
Keempat-empat syarat di atas beserta beberapa pemerhatian yang lain telah saya jelaskan dalam artikel Hadis Dha‘if: Hukum dan Syarat Pengamalannya yang saya himpun dalam buku Menelan Air Liur Tidak Membatalkan Puasa terbitan Jahabersa, Johor Bahru.


[6] Antara tokoh yang dimaksudkan adalah al-Albani sebagaimana yang beliau jelaskan di bahagian Muqaddimah bagi kitabnya Shahih al-Targhib wa al-Tarhib (Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh, 2000) dan Yusuf al-Qaradhawi sebagaimana yang beliau jelaskan di bahagian Muqaddimah bagi kitabnya al-Muntaqa min Kitab al-Targhib wa al-Tarhib li al-Munziri (Dar al-Wafa’, Mesir, 1993).
Sahabat saya, Adlan Abd Aziz – semoga Allah menambah dan memberkati ilmunya, dalam artikelnya Hukum Beramal Dengan Hadis Dhaifmenerangkan bahawa antara yang turut melarang adalah beberapa ahli hadis masa kini seperti Muhammad Ajjaj al-Khatib, ‘Abd al-Qadir al-Arna’uth dan Syu’aib al-Arna’uth. [Majalah i (Kumpulan Karangkraf, Shah Alam), edisi Mei 2006, ms. 73]

Bacaan tambahan:
Hadis Dha‘if: Hukum dan Syarat Pengamalannya

0 Responses