Hati-hati dengan hati


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِي


Melihatkan tamadun manusia hari ini, begitu banyak sekali profesion-profesion yang ada untuk memenuhi tuntutan dunia manusia. Profesion dimana untuk menguasainya memerlukan dua hingga tiga dekad kehidupan manusia didedikasikan padanya.


Doktor


Lihat sajalah pada kehidupan seorang doktor. Untuk mendapat perakuan, panggilan 'doktor', biasanya pada umur 25 tahun baru tercapai. Itu pun hanyalah sebagai seorang 'houseman', kuli kepada 'medical officer' dan 'specialist'. Mungkin 5 hingga 6 tahun sebelum boleh melanjutkan kepakaran dalam bidang tertentu. Realitinya untuk merawat masyarakat masa kini memerlukan lebih dari rawatan fizikal.






Apa yang doktor lakukan hanyalah memberi impresi yang dia berjaya melambatkan kematian (kerana kematian telah ditentukan oleh Allah sebelum kita lahir lagi). Buka mata dan lihat sekitar anda. Berapa ramai doktor yang 
merokok di luar hospital, berapa ramai yang masih meneguk arak biarpun kerana arak itulah mereka mempunyai kanser kolon, berapa ramai bayi yang terbuang biarpun kondom dijual secara berleluasa di 7 Eleven dan sebagainya.


Ilmu cukup malah lebih dari cukup untuk diamalkan. Tapi mengapa ianya seolah-olah tidak berguna langsung?


Arkitek


Tokyo, New York, Kuala Lumpur, Amsterdam. Bandar-bandar yang gah dengan bangunan yang tersergam indah dan mencakar langit. Andai kualiti hidup dinilai dari bangunan-bangunan yang ada pasti tempat-tempat inilah yang tertinggi di dunia.


Sesuatu yang pernah dialami oleh kaum-kaum yang telah pupus. Lihat sajalah Piramid, Ziggurat, Taman Tergantung Babylon dan banyak lagi umat Islam. Semuanya masih gah sehingga hari ini. Semuanya masih tegak berdiri menerima kunjungan manusia yang silih berganti.


Sesungguhnya telah berlalu sebelum kamu sunnah-sunah Allah; karena itu berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul).
(Ali Imran 3:137)


Sejauh mana ketinggian bangunan menjamin kebahagiaan penduduknya?
Sejauh mana kemegahan sesuatu binaan melambangkan ketinggian akhlak penduduk di sekitarnya?


Guru, ahli sukan, polis


Semuanya menyumbang kepada pembangunan. Tak siapa nafikan. Namun kita berdepan juga dengan kisah-kisah seperti guru yang mengajar sekadar untuk menjustifikasikan dirinya menerima gaji, ahli sukan yang menggunakan kemahirannya untuk terlibat dalam pertaruhan dan polis yang menerima rasuah.


Di mana silapnya?


Semuanya telah tersedia bak peralatan yang menanti untuk digunakan, dimanfaatkan. Tapi sayangnya yang menggunakannya telah melakukan kezaliman dengan meletakkanya di tempat yang salah. Hati yang memandu penggunaan telah mengkhianati tujuan alatan-alatan tersebut dicipta.
Pokok pangkalnya masalah bermula dengan hati!


Kerana hati yang rosaklah menyebabkan seorang penagih alkohol kembali ke hospital berulang kali, biarpun setiap kalinya dia berjaya dirawat sehingga sihat oleh doktor.
Kerana hati yang rosaklah menyebabkan bangunan-bangunan yang megah digunakan untuk tujuan maksiat biarpun bangunan itu sendiri berhiaskan kaligrafi Al-Quran.
Kerana hati yang rosaklah menyebabkan anak-anak murid terabai biarpun dengan segala macam kursus yang telah diikuti dan segala kemudahan yang telah disediakan.
Kerana hati yang rosaklah sukan tidak menjadi medan menyihatkan badan tapi medan untuk mendapat kekayaan.
Kerana hati yang rosaklah seorang yang ditugaskan menegakkan keadilan mengkhianati keadilan yang dipertahankannya.


Zaman Jahiliyyah


Jahiliyah apakah yang berleluasa ketika Islam belum sampai di Mekah? Nak dikatakan jahil, bangsa Arab ketika itu terkenal dengan kemahiran bersyair. Jiwa mereka begitu sensitif dengan syair sehingga keindahan bahasa Al-Quran memukau mereka. Perdagangan juga telah berjalan sehingga ke negara-negara lain. Banyak kafilah yang sentiasa datang dan pergi ke Mekah. Jika dikatakan pengecut, mereka tak lekang dari peperangan antara kabilah sehingga kebenaran disembunyikan, yang penting kabilah sendiri mesti dipertahankan. Sebahagian dari mereka masih mewarisi risalah-risalah dari nabi-nabi terdahulu terutamanya Nabi Ibrahim bagi bangsa Arab.


Bandingkan dengan situasi kita sekarang.


Ketika inilah Al-Quran turun.
Turunnya Al-Quran bukan untuk mengajar cara membaiki empangan Ma'arib.
Bukan juga untuk mengajar matematik, perubatan mahupun cara membaca.
Al-Quran turun dengan tujuan yang lebih mulia. Merawat punca kepada segala permasalahan yang berlaku.


Al-Quran turun untuk merawat hati manusia!

0 Responses